"AKU" @ "ANA"
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Yang Maha bijaksana, Yang Maha Memiliki Ilmu Ghaib dan Yang Nyata, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Esa tiada sekutu bagi Nya, Dialah yang awal dan yang akhir, yang Batin dan yang Zahir yang meliputi Segala sesuatu. Maha Suci Allah yang mengilhamkan ilmu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izinNya.
Selawat dan salam untuk cahaya bagi segala cahaya, rahsia bagi segala rahsia, pembuka pintu ilmu Ketuhanan, pelita hati,dan penawar sanubari iaitu junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan limpahkan juga rahmat kepada kaum keluarganya dan para sahabat sekalian.
Dengan taufik dan hidayah Allah jua dapatlah penulis menghuraikan dalam risalah ringkas ini sedikit penjelasan berkenaan perkara "AKU" @ "Ana" menurut pandangan Falsafah Kesufian atau Falsafah Tasawuf untuk dijadikan bahan kajian, renungan dan kritikan para pembaca sekalian.
"Aku" yang dimaksudkan disini ialah diri iaitu diri kita sebagai manusia. Pandangan ini dari sudut Falsafah Kesufian (Philosophy of Sufism). Sekiranya betul pendapat ini maka itu dari Allah dan sekiranya tidak betul maka itu dari nafsu penulis sendiri. Jadi dengan itu, mana yang betul jadikan kajian dan mana yang salah diketepikan.
Paling baik lagi jika pembaca sekalian merujuk penjelasan dalam risalah ini kepada Ahli Ilmu ataupun dipanggil yang Mursyid iaitu mereka yang masak ilmunya dalam bidang Falsafah Kesufian agar dengan itu pembaca tidak teraba-raba akan maksud yang disampaikan dalam risalah ringkas ini.
Akhir kalam, penulis memohon keampunan Ilahi jika ada tersalah silap dalam risalah ini dan bersyukur kepadaNya jika tulisan ini betul dan benar. Kepada Allah aku kembalikan semua urusan.
PENDAHULUAN
Kita selalu merujuk diri kita seagai "AKU". Kita berkata, "Ini Aku" , "Ini Aku punya", "Ini badan Aku", "Nama Aku si-anu", dan "Nama bapa Aku si-anu", dan sebagai nya.
Pernahkah kita terfikir siapakah AKU kita itu? Apakah AKU kita itu? Siapa sebenarnya AKU itu?
Maka disini penulis cuba untuk menghuraikan brkenaan AKU ini menurut pendapat dan pandangan Falsafah Kesufian (Philosophy of Sufism).
Buku atau risalah ini mengandungi penjelasan berkenaan AKU. Dari penerangan atau penjelasan ini pembaca akan dapat sedikit sebanyak maklumat tentang apa dan siapa sebenarnya AKU kita itu.
Selamat membaca dan memahaminya...

0 comments:
Post a Comment